Saturday 31 March 2012

Mee Goreng Basah Ayong.


Di dalam keluarga Ani selain dari emak Ani, Kak Long (Ayong) Ani kalau masak mesti sedap. Ani memang admire kebolehan Ayong. Kalau berkumpul memang dia la yang selalu jadi Chef kanan dan semestinya emak ketuanya. Ani sekeluarga memang menggemari mee goreng basah ni apa lagi di makan panas panas.. hmm yummy la sgt.. ditambah pulak dgn bahan yang byk.. jika kita makan diluar kan tak sama seperti masak sendiri.. orang berniaga lain.. bahan pun budget  je opsss.. sapa mkn cili dia terasa pedasnya ahakss

Resepi:

5 biji bawang merah
3 biji bawang putih
ayam/daging/udang/sotong (pilihan Ani selalunya Ayam atau daging)
1 bungkus mee
sayur sawi
2 sudu besar cili giling
2 sudu besar tomato
2 sudu besar sos tiram
2 sudu besar kicap manis
sedikit air
garam secukup rasa
sedikit daun sup dan daun bawang cili merah dan bawang goreng sebagai hiasan
Cara membuatnya:

Tumis bwg merah dan bwg putih yg telah di tumbuk halus sehingga naik bau.
Masuk kan cili giling.. kacau sehingga lada garing.. selepas itu masuk kan bahan perencah (ayam, daging,udang, sotong) pilihan anda.
Masuk kan air biar kan hingga kuah mee mendidih. Masuk kan sos tomato, sos tiram dan kicap.
Rasakan masin nya lalu masuk kan mee. Kacau hingga mesra. Biar kan mee berkuah sedikit.
Boleh dihidang kan dan di nikmati. :)

Tuesday 27 March 2012

Chicken Pox

Petang itu Ani dan suami baru sahaja melangkah masuk ke dalam kereta utk pulang dari kerja.. hari yang agak meletih kan.. Ani baru sahaja bekerja setelah cuti sakit.. Alhamdulillah kerja dapat Ani sempunakan walau tubuh badan belum sekuat dulu..

Tiba tiba handfon En Suami berbunyi dgn nada dering lagu yang Imtiyaz "set" kan lagu lagu anak zaman "touch screen" haha.. Aku segera menjawap nya kerana en suami nak menghidup kan enjin kereta.. "hello" terdengar suara yang cukup aku kenali.. Yaz.. cepat aku menjawap.. Pa kbr nak? Imtiyaz sihat? Dah makan? Buat pa tu? haaa bertalu talu tak soalan ? Heppp jangan nak ketawa  atau menggeleng geleng kan kepala.. cuba lah jadi mama, ummi, mak, ibu ke mummy ke cuba lah.. begitulah teruja nya bila mendengar suara anak kesayangan yang berada di sekolah berasrama yang masa berjumpa, bermesra, makan bersama semakin berkurangan demi cuba memberi peluang mencari ilmu yang terbaik utk anak tercinta.. "Ma Yaz kena chicken Pox.. " Haaa? Dah banyak keluar ke nak? Boleh balik tak? Cikgu tahu tak? Badan Yaz panas ke? haaaa banyak lagi soalan tu kan kan.. hahaha sabar je la kan.. 

Semasa ntry ni di tulis Imtiyaz sudah berada di rumah.. bintik kemerahan sudah semakin bertambah bilangannya dan semakin kelihatan.. Kasihan anak ku sayang terpaksa berpantang makan.. padahal ayam, udang, sotong merupakan kegemarannya.. dan yang paling seksanya menahan nafsu bila tak dapat makan Kicap.. hahaha kan orang orang tua cakap "jgn makan kicap nanti parut nya hitam" aduss walau dulu semasa Ani kecil Ani sungguh tak setuju dgn kenyataan itu.. btul ke makan kicap parut tu nanti hitam cam tak caya je.. tapi kita kan sakit ikut je lah.. 

Cepat sembuh ya anak ku.. Insyaallah dgn izin allah.. 
*Virus Chicken Pox boleh berjangkit melalui udara ketika pesakit batuk atau terbersin, sentuhan pada bintik merah yang telah pecah dan juga melalui pakaian pesakit.
Isk isk ni bukan Imtiyaz.. :P foto ni dari averaorg.adam.com
Oh ya esok nak cari daun Semambu atau daun Neem yang secara tradisional nya terkenal dgn khasiat boleh meredakan kegatalan dibuat sebagai alas tempat tidur, diramas dan boleh dicampurkan dgn air utk dibuat air mandi pesakit atau di tumbuk halus dan dilumur kan pada badan.

Haaa ini lah daun Semambu. foto ehsan dari www.benkungmoden.com

Friday 23 March 2012

Sambal Belacan Tomato.




Sambal Belacan Tomato.. hmm kesedapan nya sebagai penambah selera tak di sangkal lagi.. sehingga bagi Ani siapa yang tak makan sambal belacan rugi sehh.. mungkin ramai dah tahu nak wat.. Ani tetap nak share kan kerana besarnya pengaruh sambal belacan dalam menu makanan harian kita.. kira penghormatan  dan pengiktirafan la kan.. Baik lah mari layan bagaimana dan apa yang diperlukan bila nak buat sambal belacan..

 Bahan - bahan :-

  •  5 biji cili merah
  • 2 biji cili hijau
  • 3 cili padi
  • 1 sudu makan belacan 
  • 3 biji limau kasturi
  • sebiji tomato ( guna yang masih belum terlalu masak) potong dadu
  • Garam dan gula secukup rasa

Cara Membuat :-

  1. Cili merah, hijau dan cili api di potong kecil lalu di tumbuk lumat.
  2. Masuk kan belacan.
  3. Masuk tomato, garam dan gula.
  4. Hidang kan bersama perahan limau kasturi.

Thursday 22 March 2012

Kari Ikan Bawal.



Assalamualaikum dan salam sejahtera pada semua pembaca yang Ani hargai.. ALHAMDULILLAH syukur pada ALLAH di atas segalanya.. Pada pagi yang indah ini Ani ingin berkongsi resepi yang Ani jumpa bila dok intai intai di blog Che Mat Gebu Dapur tanpa sempadan bila ternampak je terbuka selera nak mengari.. hehe
kebetulan Ani ada beli ikan bawal boleh lah ..walau pada resepi asalnya CMG guna ikan tenggiri.. tak kisah la ikan yang mana satu.. kedua dua nya bagi Ani jika di buat kari.. memang BESTTT.. ;) Resepi ni memang senang dan ringkas.. tapi hasil nya masih lazat hingga menjilat jari.. pada penggemar kari ikan pasti terliur je tu..

Ani minta izin CMG untuk cnp resepi nya di sini ya.. Terima Kasih CMG di atas perkongsian resepi dan merupakan blog yang memberi inspirasi dan menjadi rujukan..


BAHAN-BAHANNYA :-)
2 ekor ikan tenggiri saiz sederhana, kerat ikut suka, bersih dan toskan ( Ani guna ikan bawal)
10 batang bendi muda, cuci dan toskan
2 biji tomato, belah 3 setiap biji
1 cawan santan
1/2 cawan jus asam jawa
3 1/2 camca besar rempah kari ikan (mat guna jenama Baba's)
1 camca besar penuh cili kisar
4 biji bawang merah, kisar halus
3 ulas bawang putih, kisar halus
1 kiun ikan bilis "maggi" (optional)
1 inci halia, kisar halus
Air secukupnya
Garam dan gula secukup rasa

BAHAN TUMIS :-)
3 biji bawang merah, hiris
2 ulas bawang putih, hiris
2 tangkai daun kari, dilurut
1 camca teh halba campur

CARA MEMBUATNYA :-)
Bancuh rempah kari dengan 1/2 cawan air bersama bawang merah dan putih kisar, kacau rata hingga menjadi pes dan ketepikan. Panaskan minyak dalam periuk, masukkan bahan tumis dan tumis hingga harum, tambah cili kisar dan tumis hingga cili garing. Masukkan rempah kari, tumis hingga terbit minyak, gunakan api kecil dan kacau selalu.
Tuang air, kacau dan biar mendidih. Masukkan ikan, kiub ikan bilis (jika guna) dan bendi, kacau perlahan dan bila mendidih, masukkan jus asam jawa dan juga santan. Perasakan dengan garam secukup rasa dan sedikit gula. Masak hingga bendi lembut.
Akhir sekali masukkan tomato, masak sekejap, rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan panas bersama nasi hangat..

Tuesday 20 March 2012

Talam Keladi.


Dengan lafaz Bismillahirrahmannirrahim, Ani cuba buat Talam Keladi dengan keladi yang di beli semasa balik dari Morib hari tu.. Ini percubaan pertama Ani.. Alhamdulillah menjadi walau Ani rasa warna purple utk lapisan atas tu Ani bubuh terlebih meriah sket.. maklum la excited lelebih.. haha.. Ani memang suka makan kuih talam selalu membeli jarang sekali membuat nya.. tetapi semenjak ada blog ni selalu lompat lompat intai dapur rakan blogger yang len terutama sekali blog Ratu Talam kita Pn Yatie iaitu Sinar Kehidupanku.. datang semangat nak belajar buat kuih talam.. dapat lah beri pada jiran dan buat bekal En suami ke ofis..Menurut Yatie resepi ni berasal dari Chef Asma terima kasih ya atas sumbangan resepi nya.. dan resepi nya di kopipes dari blog Ayu jadi Ani minta izin ya resepi nya di panjangkan di blog Ani.. ribuan terima kasih ya..

Resepi nya :-
Talam Keladi

Sources:-From Chef Asma
Sources:-From Ayu@Curlybabesatisfaction.blogspot.com
LAPISAN BAWAH
Bahan Bahan
(A) 220 gm tepung beras
      40 gm tepung ubi
      1 1/2 tsp garam
      300 ml santan pekat
      700 ml air

(B) 250 gm keladi - (lebih sikit pun tak apa) - buang kulit, basuh,(basuh dgn air garam untuk tidak hitam) potong kiub dan kukus selama 5 minit.- (kukus baru timbang)

Cara-caranya :
1. Bancuh semua bahan A hingga rata dan sebati .
2. Tapis ke dalam periuk . Masak sehingga naik wap dan masukkan bahan B
3. Kacau sebentar dan tuang ke dalam loyang 10" x 10" x 3"
4. Kukus selama 25 minit

LAPISAN ATAS
Bahan Bahan
150-180 gm tepung gandum-sorry just edited
250 gm gula halus
3-5 biji telur-sorry just edited
250 ml santan
500 ml air
sedikit pewarna purple

Cara caranya :
1.Bancuh semua bahan bahan diatas, tapis ke dalam periuk
2. Masak sehingga naik wap. Tuang ke atas lapisan bawah
3. Kukus selama 30 minit.(Lap 5 minit sekali)

Monday 19 March 2012

Daging Dendeng Pandan.

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera kepada semua pembaca yang Ani hargai,
Petang ni Ani nak berkongsi satu resepi yang Ani dapat bila dok mengintai dapur Kak Ummi  di blog nya Home Sweet Home. Ani masak semalam untuk makan tengahari. Dapur Kak Ummi ni memang tak asing lagi memang selalu menjadi rujukan saya. Malah resepi dendeng ni pernah di terbit kan di dalam majalah Jelita Mac 2011. Tahniah Kak Ummi. Pernah juga nampak resepi ni di masak di dapur Yatie tapi beliau menggunakan ayam pun nampak yummy juga.. yang pasti Ani nak cuba juga versi ayam satu hari nanti insyaallah..

Dendeng ni sedap tak rugi mencuba nya.. Ani suka sekali bila ada bubuh bawang goreng tu buat kan masakan ni rasanya sungguh 'exotic" gitu.. Pada Kak Ummi ribuan terima kasih atas perkongsian resepinya ya . Saya minta izin cnp resepi nya di sini ya..

DAGING DENDENG PANDAN
Resepi: Ummi @ Home Sweet Home
(keluaran Jelita Mac 2011)

Bahan:-
500 gm daging batang pinang
2 cawan air
* 2 batang serai - diketuk
* 1 inci halia - diketuk (*untuk direbus dgn daging)
2 sudu besar cili kering yang dikisar
2 sudu kecil rempah kari daging
1 sudu kecil serbuk ketumbar
1 sudu besar kicap pekat manis
1/4 cawan gula melaka yang dihancurkan
3 sudu besar gula pasir
garam secukup rasa
sedikit air (jika perlu)
1 helai daun pandan - disimpul
1/2 cawan bawang goreng
minyak masak secukupnya

Bahan Kisar:-
8 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
1 cm lengkuas
2 cm halia

Cara Memasak:-
Potong daging kepada saiz 4 x 4 inci, bersihkan dan rebus hingga daging empuk. Angkat dan toskan. Hiris daging nipis2. Buat hingga siap.
Tumbuk-tumbuk sedikit setiap keping daging.
Panaskan minyak dalam kuali dan goreng sekejap daging tadi hingga nampak garing sikit di bahagian tepinya. (boleh gunakan minyak lebihan bawang goreng untuk lebih sedap). Angkat dan toskan.
Keluarkan minyak dan tinggalkan lebihkurang 1/4 cawan dan tumiskan bahan kisar serta cili kering dengan api sederhana perlahan hingga pecah minyak.
Masukkan serbuk kari daging, serbuk ketumbar, kacau rata. (masukkan sedikit air jika terlalu kering)
Masukkan gula melaka, gula pasir, kicap manis dan garam secukup rasa. Seimbangkan rasa.
Masukkan daging dan daun pandan, gaul rata. Masak hingga daging benar2 bersalut dan sedikit kering atau pecah minyak.
Tutup api dan tuangkan bawang goreng. Gaul rata-rata menyelaputi daging. Siap untuk dihidangkan.

Sunday 18 March 2012

Tunggu sekejap..

Masa cepat betul berlalu kan teman teman.. tidak terkejar walau kita suruh dia tunggu kita sekejap je pun jadi lah..cepat sungguh cuti sekolah berakhir.. petang tadi Imtiyaz kembali ke sekolah.. mula lah mama nya rindu.. cuti sekolah ni Ani tak kemana pun banyak menghabis kan masa di rumah melayan kerenah anak anak nak makan itu ini.. mana yang larat di masak Ani masak kan.. Jumaat lalu Encik Suami ambil cuti tak merancang apa apa pun cuma tiba tiba kata nya mari kita pergi Morib tak perlu booking hotel mana mana pun.. ada bilik kosong kita tidur semalam kalau tak kita pergi makan makan lepas tu kita balik rumah.. apa lagi anak anak excited la.. Ani sekeluarga memang suka plan yang tiba tiba nih.. hehe Kami terjah je mula mula ingat kan nak ke Gold Coast Morib tapi penuh.. Lepas itu kami pergi Hotel Impian Morib alhamdulillah ada bilik kosong.. dapat lah kami tidur semalam di Morib.

Ani suka ke Morib kerana semenjak kemudahan di pantai tu di naiktaraf.. dgn kemudahan tandas, surau dan tempat makan yang lebih teratur Ani sekeluarga memang selesa ke sana. Ani nak kongsi satu tarikan di pantai Morib tu..
Haaa ini lah salah satu kedai makan yang terdapat di Laman Selera di tepi pantai Morib tu.. Ada sotong Bakar dan tauhu bakar.. Sos nya jika ikut selera Ani sangat lah mengancam .. sedap.. Sesiapa yang belum cuba.. bebila ke Pantai Morib sila lah cuba ya.. Banyak lagi kedai makanan di sini ada pelbagai jenis makanan, seperti satay, soto, laksa, ikan bakar, masakan "western" seperti chicken chop fish n chips dan lain lain.. Jadi tak perlu risau.. pilih sahaja

Haaa brother tu tengah bakar tauhu dan sotong.. mengguna haba dari arang

Itu dia sotong kering yang dah di nipis kan.. isk isk masih terasa rasa kesedapan nya..

Friday 16 March 2012

Mihun Taucu.

Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera,

Apa khabar semua? Harap semua sihat ya.. dah sarapan? Ani selalu suka ingatkan anak anak mesti sarapan pagi baru otak boleh tumpuan bila belajar, baru badan ada kekuatan nak bersukan. Anak anak memang tahu lah jika tak bersarapan memang Ani pot pet pot pet hehe :D 

Hari ini Ani nak kongsikan resepi Mihun Taucu dari buku 1 Hari 1 resepi oleh Chef Hanieliza. Sebenarnya Mihun Taucu ni ada kenangan. Semasa mengandungkan anak pertama Ani mengidam mihun tauchu masakan achik kantin semasa Ani sekolah menengah. En suami jadi buntu tapi tetap dia cuba telefon bapa saudara Ani yang kebetulan isterinya mengajar di sekolah tu. Menurut mereka achik kantin tu dah lama abis kontrak dgn sekolah tu dah. Aduhai punya lah sedih. bukan nya Ani tak boleh goreng sendiri tetapi tak sama kan. Dulu di sekolah kita aktif perut sering lapar masakan achik tu lah yang kita makan setiap hari persekolahan. Achik kantin tu pun dah meninggal dunia. Al- fatihah untuk beliau.. baik lah ini pun dah banyak pot pet pot pet mari kita layan resepi nya..

Resepinya :-

Bahan A
1 bungkus mihun (rendam hingga lembut)
250 gram daging - 
1 mangkuk sawi atau pun sayur kuchai 
1 mangkuk kubis (di racik)
1/2 batang lobak merah (di parut)
1/2 cawan taucu masin
1/2 cawan air

Bahan B (untuk menumis)
3 sudu makan minyak masak
3 sudu makan cili kisar
3 biji bawang merah (di tumbuk)
3 ulas bawang putih (di tumbuk)

Bahan C (sebagai hiasan)
1 keping tauhu goreng (di hiris kecil)
1 pokok daun sup dan daun bawang (di racik)
2 biji cili merah (dihiris)
Bawang goreng

p/s ada setengah bahan tak ada stok kat rumah jadi Ani tak bubuh bukan nak derhaka resepi ya.. hehe ;)

Thursday 15 March 2012

Puding Sagu Gula Melaka Permintaan Imtiyaz.

Assalamualaikum..

Mama.. boleh tak buat kuih yang ni?.. sedap.. Aduhai bila anak dah cakap macam tu tak mungkin lah mama nya tak buat kan. Cepat cepat suruh Irfan belikan sagu mata ikan, gula melaka dan susu cair. Ani buat dengan penuh kasih sayang Alhamdulillah sambutan hangat. Mujur Ani buat lebih dapat lah mereka ulang ulang tayang makan dengan nikmat nya. Tak sangka Irfan pun suka juga dengan puding sagu ni. Memang berbaloi la mama dia buat kan. Imtiyaz dah siap suruh " ma.. nxt time kita cuba warna pink eh? warna kuning la sampuk Irfan" Insyaallah nanti mama buat warna tu pula ya.. ;)



Sumber dari Buku Senangnya memasak... Puding & Desert (Chef Hanieliza)
Resepi nya :-

Bahan A (Sagu)
  • 2 cawan sagu mata ikan
  • 5 cawan air
  • 1 sudu teh pewarna hijau
  • 1 tin susu cair (400 ml)
  • 1 tin buah buahan koktel (sebagai hiasan)

Bahan B ( Air Gula)
  • 1 cawan gula merah
  • 1/2 cawan gula pasir
  • 1 cawan air
Cara membuatnya :-
  1. Didih kan air, masuk kan sagu dan pewarna hijau. Kacau sehingga sagu masak.
  2. Masukkan sagu ke dalam acuan kecil. Sejukkan.
  3. Masak semua bahan B sehingga mendidih dan sedikit pekat.
  4. Keluarkan sagu dan masukkan ke dalam mangkuk kecil.
  5. Tuangkan susu cair.
  6. Hiaskan dgn buah-buahan koktel. (Ani tak bubuh )
  7. Tuangkan gula merah dan hidangkan.

Cekodok Bawang Ikan Bilis.

Assalamualaikum semua dan salam sejahtera. Alhamdulillah syukur pada Allah swt dapat lagi kita bernafas dan berblog hari ini. Ani nak kongsikan semesti nya cekodok kegemaran keluarga Ani terutama En Suami. Lebih lebih lagi ada kuah asam pedas ikan yang bole di buat pencicah. Sedap dan nyaman je anak tekak ni bila makan cekodok ni. Laju je habis cekodok ni. Alhamdulillah.. Resepi ni biasa biasa je Ani tambah daun kuchai
kebetulan ada dalam peti ais tu haa..

Bahan bahan nya :-

2 cawan tepung gandum
segenggam ikan bilis, bersihkan dan rendam (tumbuk)
1 biji bawang besar di potong kecil kecil
2 tangkai daun kuchai di potong panjang panjang (dalam 2 cm gitu )
1 biji telur
Garam secukup rasa
Air secukup nya

Cara membuat nya :-

  1. Didalam bekas masuk kan tepung, ikan bilis yang sudah di tumbuk, bawang besar, daun kuchai dan telur. Masuk kan Air dan gaul rata sehingga mendapat adunan yang tidak terlalu cair dan boleh disudukan. 
  2. Masuk kan garam. ketepikan sebentar. Sementara itu panas kan kuali dgn minyak untuk menggoreng.
  3. Goreng hingga kuning keemasan. Angkat dan toskan, buat sehingga habis adunan. Selepas itu boleh lah di nikmati dengan pencicah seperti kuah asam pedas, sos cili dan sebagainya.

Wednesday 14 March 2012

Asam Pedas Ikan Tenggiri

Assalamualaikum semua dan salam sejahtera, Salam 1 Malaysia.. ahakss semangat btul pagi ni.. :D Baiklah pagi ni Ani nak share kan menu tak asing lagi dalam makanan di malaysia ini iaitu asam pedas. Jika dah berasal dari melaka tu tentu tak sah jika tak tahu masak asam pedas. Asam pedas memang kegemaran Ani terutama sekali anak Ani .. Irfan. Oleh itu sesapa yang nak jadi menantu kena pandai masak asam pedas ya.. hahaha awal awal dah kasi tau ni.. Resepi tentu dah ramai yang tahu kan.. tak pa Ani share kan juga buat rujukan.. Selamat Mencuba.. ;)

Bahan :-

  • Seekor ikan tenggiri saiz sederhana
  • 1/4 cawan air asam jawa
  • 2 bji tomato di belah empat setiap 1
  • air secukup nya ( jaga jaga jgn smpai cair sgt kuah tu ) 
  • garam dan gula secukupnya
  • 1/4 cawan minyak utk menumis
  • Bendi 5 btg
  • Belacan 1 cm
  • 1 sudu kecil rempah tumis ikan
Bahan Kisar :-
  • 20 tangkai cili kering
  • 5 ulas bawang merah
  • 3 ulas bawang putih
  • 2 cm kunyti hidup
  • 2 cm halia
  • air secukupnya utk di kisar
Cara Memasak :-
  1. Panaskan minyak di dlm periuk, tumis bahan kisar, rempah tumis ikan dan belacan dengan api sederhana. Kacau hingga pecah minyak.
  2. Masukkan ikan dan sedikit air hingga mendidih.
  3. Masukkan air asam jawa dan tambah lagi air utk kuah secukup nya
  4. Masukkan garam dan gula secukup nya
  5. Masukkan bendi dan tomato biar seketika dan tutup api.
Oh ya jangan lupa jika ada kuah berlebih jangan di buang sedap dibuat sebagai cicah cekodok ikan bilis atau roti canai.. 

Tuesday 13 March 2012

Terima Kasih Teman..

Dari kiri - Dekwa, Nurul. Haizan n Kak Noraini
Entry kali ni Ani tujukan khas untuk teman sekerja Ani di atas. Semenjak cuti sakit ni Ani rindu kan suasana kerja di ofis dan senda gurau kami bersama. Segala pahit manis bekerja menjadi kenangan. Ani sedar kami bergantung di antara satu sama lain. Segala yang berlaku di situ hanya kami yang tahu.. TERIMA KASIH Ani ucapkan atas segala tunjuk ajar, teguran dan kerjasama yang diberi tanpa banyak soal. Jika tiada aral hujung bulan ini Kak Noraini akan bertugas di cawangan lain. Jasa baik beliau akan sentiasa di kenang. Pasti Ani akan merinduinya. Tapi insyaallah kami akan tetap dapat berhubung. 
Wahai teman.. hidup ini seringkali kita terlalai akan betapa berharganya sesuatu itu.. oleh itu semoga persahabatan yang terjalin antara kita sehingga ke akhir hayat. Coretan ini hanya coretan kecil sebagai luahan hati yang tidak pernah Ani nyatakan betapa besarnya makna mereka semua selama ini di dalam hidup Ani. Bayang kan lima hari seminggu selama 8 jam kami bekerjasama menjalankan tanggungjawap yang di beri demi mencari rezeki. Kepada Allah swt Ani ucap kan terima kasih atas pertembungan rezeki untuk bersahabat dengan mereka semua. Doa Ani untuk kita semua semoga kita dapat menjalankan tugas dengan harmoni demi meningkatkan prestasi syarikat.. dan sentiasa di dalam keberkatan Allah swt.. Aminn..

Monday 12 March 2012

Talam Kastard Jagung


Assalamualikum semua ;) Harap semua nya di dalam lindungan Allah swt sentiasa. Ani hari ni berjaya membuat talam ini dengan bantuan Imtiyaz. Kalau tiada bantuan Imtiyaz, tak berjaya lah projek talam yang lama di tangguh kan. Resepi ni Ani ambil dari blog "Sinar kehidupan ku" tuan punya blog nya Puan Yatie memang tak asing lagi malah di beri gelaran Ratu Talam. Ani minta izin ya di kongsikan resepi nya di sini. Terima kasih.

Bahan-Bahan- loyang 10 inci

Lapisan Bawah
1 1/2 cwn tepung beras
1/2 cwn tepung jagung
1/2 cwn tepung kastard
1 cwn gula
1 cwn jagung krim manis
3 1/2 cwn santan
sedikit perwarna kuning
sedikit garam
Cara Menyediakan Lapisan Bawah
Satukan kesemua jenis tepung dlm sebuah mangkuk.
Masukkan sedikit garam, gula dan santan.
Gaul sebati dan tapiskan. Masukkan ke dlm periuk dan masak diatas api kecil sehingga naik wap. Masukkan jagung krim dan gaul lagi sehingga sebati.
Alaskan loyang dngn plastik dan sapukan sedikit minyak. Tuang adunan tadi dan kukus selama 20 minit.
** Setiap 10 minit saya buka penutup kukus dan lapkan air yg terdapat di penutup kukus. Tutup semula dan kukus lagi selama 10 minit.(utk mengelakkan air bertakung di permukaan kuih..)

Bahan Utk Lapisan Atas
2 cwn santan pekat
1 cwn air pandan ( 3 helai daun pandan kisar bersama air dan jadikan 1 cwn jumlahnya)
1 cwn tepung gandum
2 sudu besar tepung jagung
1 sudu besar tpng ubi
2 biji telur
2 sudu besar gula pasir
secubit garam
Pewarna hijau/pandan
Cara Menyediakan Lapisan Atas
Masukkan kesemua bahan dlm sebuah mangkuk. Gaul sebati, nak mudah blend kesemuanya.
Masukkan adunan ke dlm periuk dan masak hingga naik wap, guna api kecil je.
Cakar2kan sedikit permukaan bawah tadi dan tuangkan adunan pandan ke atas lapisan jagung tadi dan kukus selama 20 minit.
Saya kukus 10 minit dan buka penutup kukus, lapkan air yg terdapat pada penutup kukus dan kukus lagi selama 10 minit.(jumlahnya 20 minit juga kan..)
Tips.
** Sekiranya terdapat sedikit air di permukaan kuih, sengetkan loyang sedikit dan buangkan air yg terdapat di permukaan kuih...guna sudu je...atau lapkan guna tisu dapur.
** Sejukkan kuih, kuih ni hendaklah betul2 sejuk barulah cantik bila di potong.
** Gunakan pisau plastik utk memotong apa2 jenis kuih talam atau kuih lapis supaya cantik.

Sardin Masak lemak Cili Api


Hi semua.. sebenarnya dah lama Ani nak masak lauk ni tapi entah kenapa mcm tak kesampaian je.. bila nak masak sardin tak de la.. belimbing buluh tak de jual la.. hahaha macam macam.. tapi tengahari tadi alhamdulillah dapat juga Ani masak untuk di makan Ani sekeluarga. Alhamdulillah habis tinggal kuah je selepas makan malam tadi.. resepi ni Ani ambil dari buku Chef Hanieliza Senangnya memasak Ikan. 


p/s Ani dah simpan kuah nya untuk di buah cicah cekodok bilis.. sedap tuhhh ;)  

Resepi nya:


Bahan A
1 tin besar ikan sardin
  • 2 cawan santan pekat (1/2 biji kelapa)
  • 1 cawan santan cair
  • 7 biji belimbing buluh
  • garam secukup rasa
  • 2 batang serai 

Bahan B

  • 15 biji cili api 
  • 3 biji bawang merah
  • 1 inci kunyit hidup

Cara membuat nya:

  1. Masukkan semua bahan kecuali santan pekat ke dalam periuk.
  2. Masakkan sehingga mendidih dan sentiasa kacau supaya tidak pecah minyak.
  3. Apabila mendidih, masukkan santan pekat.
  4. Kacau perlahan sehingga mendidih.
  5. Tutup api dan hidangkan.

Ayam Masak Kicap permintaan Imtiyaz


Tengahari tadi Ani masak Ayam Masak Kicap atas permintaan Imtiyaz. Dia memang suka sangat resepi masak kicap ni.. katanya di asrama tak selalu ada menu ayam. Tak apa lah bila dah cuti ni Ani cuba lah masak biar dia dapat mkn sepuas nya. Ok lah utk resepi klik sini ;)

Wednesday 7 March 2012

Satay Goreng

Assalamualaikum semua.. hari ni Ani nak kongsi satu resepi yang Ani jumpa di myresepi.com oleh Kak Fida. Resepi ni mudah dan hasil nya sgt sedap. Kali ni Ani buat satay ayam goreng. Makan dgn timun sahaja. Nak buat kuah kacang Ani tak terdaya ini pun luka pembedahan dok berdenyut denyut. Tak pa lah Ani buat perlahan lahan tapi seperti tak lengkap tanpa kuah kacang dan nasi impit. Tak mengapa lah itu je yang Ani terdaya nama nya pun orang sakit. Buat saja apa yang termampu. Itu pun syukur pada Allah swt masih ada kudrat nak bangun sendiri tak la menyusah sangat pada suami yang perlu keluar bekerja. Baik lah mari kita layan gambar dan resepi nya ya.. Kepada myresepi.com dan Kak Fida ribuan terima kasih atas perkongsian resepi yang sgt sedap ni..;)








Bahan-bahan ( 10 orang )


1 kilo daging kambing/lembu/ayam - cuci dan tos, dipotong nipis dan kecil.
150 g gula pasir
100 g gula merah
100 g madu, 2 sk garam
Bahan berikut hendaklah dikisar tapi jgn terlalu halus :-
3 sb ketumbar biji - sangar
2 sk jintan halus - sangar
1 sb lada sulah biji
6 ulas bawang putih
1/2 jari halia
2 hiris lengkuas
4 batang serai - hiris
1/2 jari kunyit hidup
Cara-cara


Gaulkan bahan2 kisar pd daging bersama gula,garam dan madu hingga rata dan perap 1 jam atau boleh disimpan dlm petisejuk semalaman.
Panaskan minyak secukupnya dan goreng daging hingga empuk.Masukkan 1/2 senduk lagi minyak dan goreng lagi hingga kering(saya biarkan naik minyak dan basah2 sedikit).
Hidangkan dgn kuah,timun,ketupat dan bawang.
Untuk resepi kuah satay klik sini
Ani dah cuba resepi ni dgn daging.. yummy sgt.. nanti sesiapa nak cuba buat lah lengkap dgn kuah satay dan nasi impit k..

Friday 2 March 2012

Cameron Highlands

Baiklah entry di malam hari ni di sebabkan mata tak mahu lelap.. lagi pun entry CH ni tertangguh lama dah.. Ani kesana 24/12/2011. Kali ni Ani bercuti bersama keluarga sebelah suami. Sewa apartment kat sana. Bertolak pagi tapi sampai nya.. lepas maghrib.. sebab apa? Punya lah banyak kenderaan, jalan sesak.. Jadi kat sini Ani nak kasi tau.. jika nak pegi CH masa cuti umum berjaga jaga lah coz ramai naik CH. Cuaca masa Ani pergi sejuk coz hujan. Nyaman sekali. Kesian En suami penat memandu dalam trafik yang tersenggut senggut.. sungguh pun begitu semangat nak bercuti tu tetap ada tapi rugi nya tak dapat pergi mana pun coz keesokan pagi nya kami keluar awal nak cari sayur atau ole ole di bawa balik ke rumah pun jalan sesak jugak sabar je lah. Apa apa pun layan gambar 

Ha tgk salah satu foto tu.. jam terok.. 
Buah buah hati ku..

Tq to Mr Photographer (Irfan)


Posing jgn tak posing.. hehe :D

Sangat lah sedap dan bahan yang banyak.. 

 Oh ya Ani sempat singgah di Stemboat n Snack Corner di sebelah Hotel De' La Ferns. Sedap kami order kuah tomyam.. terbaik.. lepas tu kami order yang paling kecil berempat makan pun tak habis.. hmm ni yang buat nak pergi lagi ni.. kali ni nak pergi masa bukan cuti sekolah, bukan cuti umum.. hmm nak pujuk pujuk En Suami lah.. hehe ;)

Thursday 1 March 2012

Warna Warni RnR

Assalamulaikum semua..  malam ni Ani nak kongsi kan gambar gambar di RnR yang Ani ambil semasa bercuti bersama keluarga ke utara tahun lepas.. kenangan masih segar.. terasa digamit gamit kesana lagi .. insyaallah bila ada keizinan Allah.. Gambar biasa je tapi dekat di hati.. ok sila sila layannn ;)

Kacang rebusss hmm sedap nya..

Aduhai.. pilih jangan tak pilih

Nangka Madu kegemaran En Suami ni..

Buah rambutan dgn seribu kenangan dulu masa kecil rumah Ani banyak rambutan.. Abah, emak ani dan adik beradik lain selalu jual..

Buah Longan yang enak dan manis








LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...